TAGUNGGHU’ DAN AURA SAMA BAHARI PENUH SEMANGAT KEPAHLAWANAN

 


TAGUNGGHU’ DAN AURA SAMA BAHARI PENUH SEMANGAT KEPAHLAWANAN: An Introduction to Sama Kuvang Traditional Musical Instruments and Its Magical Sound Impact
Bismillahirrahmanirrahiim
Barangkali dalam banyak kesenian muzik tradisional menggunakan gabungan tambur, gong dan ceneng di serata dunia, seni pukulan gendang dinamakan TAGUNGGHU’ yang dimiliki oleh suku Sama Kuvang di pantai timur Sabah khususnya di Umaral, Manampilik, Larapan, Sallakan, Gusung Malanta, Bumbun, Silawa, Pantau-Pantau, Pakalangan dan Rannawan merupakan antara yang pernah menjadi bahana sejak dari zaman Prakolonial lagi. MAGTAGUNGGHU’ adalah kegiatan seni muzik tradisional di kalangan Sama-Bajau bukan sahaja di pantai timur Sabah malah sampai ke selatan Mindanao dan timur Indonesia.
Di Semporna pada era kolonialisme Inggeris, ‘Magtagungghu’ sudah menjadi budaya dan halwa telinga. Ia adalah aktiviti hiburan dan mengisi masa lapang. Hampir semua pulau dan petempatan mempunyai kelengkapan peralatan ‘Tagungghu’ ini sama ada simpanan keluarga, Ketua Kampung, Orang Kaya-Kaya, Ahli seni dan bahkan di kalangan orang biasa. OSKAR HOOK (D.O SEMPORNA 1914) dalam bukunya BORNEO: The Stealer of Hearts pernah melaporkan berkenaan kehidupan di Semporna :
“It is a fasinating district with a broken intended coast-line…….with an expanse of sea dotted and studded with sandy coral islands, edged with native houses, and backed with coconut trees and ubi kayu (tapioca) gardens, with coral reefs and winding channel; with storm and sunshine; ever beating gongs (tagunggu’) and sharp tap-tap of the busy cloth weavers (sambulayang); with the ever coming and going of natives in their bright clothes and beautifully carved Lipa-Lipa, Sappit or Dapang.”
Melalui rentak titik TAGUNGGHU’ ini, dapatlah dibahasakan ianya adalah gabungan seni pukulan ‘instrument’ yang paling membangkitkan perasaan, menggeletek tubuh untuk melenggokkan badan di pentas, memukul jantung untuk turut menghentakkan kaki, mampu menimbulkan rasa bangga, semangat kepahlawanan, semangat melawan musuh, rasa untuk berjuang bermati-matian dan kenangan semangat maritim yang pernah gah suatu ketika dahulu.
Ia adalah warisan Sama Bahari di mana jua keberadaan mereka di rantau Nusantara. Ia timbul dari adunan alam dan gerak geri manusia menjadi seni muzik yang menyimpan semangat dan jiwa kepahlawanan bahawa mereka adalah bangsa pelaut yang handal, bangsa yang tidak betah tinggal di darat, bangsa yang senantiasa bersedia untuk berjuang, bangsa yang tidak tunduk kepada PRENTAH, bangsa yang memiliki jatidiri dan kebanggaan untuk mempertahankan tradisi dan budaya kelautan dan tentulah bangsa yang lahir ribuan tahun akarumbi ketamadunan maritimnya.
Seni muzik tradisional TAGUNGGHU’ apabila dimainkan mampu menghidupkan semangat yang mati dan boleh menggerakkan sebuah pasukan untuk berjuang di medan perang. Ini timbul secara bawah sedar kerana seolah-olah muzik tersebut memiliki roh, semangat dan suntikan magis. Tatkala TAGUNGGHU’ dimainkan dalam rentak rancak sambil ditarikan oleh pemencak silat atau pemuda menarikan tarian MAGSAYAU atau penari IGHAL-IGHAL, ia mampu menghadirkan suasana yang mengasyikkan. Tanyalah mereka yang pakar dalam muzik tradisi ini, ia mampu menimbulkan aura tak terlukisan dek bahasa.
Tagungghu’ adalah gabungan alat muzik tradisional yang dipalu iaitu TAMBUL, KULINTANGAN, TENGTENG, AGUNG dan BUA’ dan mungkin adalah alatan lain yang mengiringinya. Pada kebiasaannya, TITIKAN dimulakan oleh Kulintangan kemudian diikuti oleh Tengteng dan sesudah itu Tambul. Semua pukulan itu bersahut dan saling menggenapkan walau pun kadar pukulannya berbeda dan saling menuju ke satu arah. Irama serta bunyi indah itu disambut pada akhirnya oleh BUA’ dan AGUNG. Agung itulah jadi penyimpul dan bunyi agung itu juga yang paling jelas kedengaran di kejauhan. Sekiranya berlaku kesalahan pada salah satu alat yang dipalu maka akan kedengaran juga canggungnya sama ada kerana dipalu terlalu laju, terlalu lambat atau sebagainya yang sebenarnya menunjukkan seseorang yang memainkan alat itu tidak mengikut tempo yang sudah disepakati temponya pada waktu alat muzik itu dimainkan. Nampaknya para pemain alat muzik ini harus sehati sejiwa dan seirama untuk memainkan peralatan tersebut!
Jika muzik ini dimainkan di satu-satu tempat, orang akan mengira ada sesuatu yang sedang berlaku desebabkan oleh auranya! Jika diibarat muzik moden, Agung itu adalah SUBWOOFER, manakala Bua’ adalah Bass, Kulintangan menjadi Mid Range, Tengteng menjadi Tweeter dan Tambul menjadi Vocal.
Seni dan kepelbagaian tempo, irama dan lagu semasa bermain muzik tradisi Sama Kuvang yang dikenal sebagai MAGTAGUNGGHU’ ini dikenal mengikut TITIKAN nya yang bermaksud pukulan pada alat tersebut. Para pencinta budaya Sama-Bajau tentulah lebih arif berkenaan muzik tradisi ini. Terdapat sekurang-kurangnya 10 jenis TITIK yang dimainkan dan dikenalpasti di kalangan suku Sama Kuvang iaitu:
TITIK ULAN-ULAN
TITIK TABAWAN
TITIK LUVAK-LUVAK
TITIK MAGSAITAN
TITIK LELLANG
TITIK KUNTAU
TITIK RUATA
TITIK TARIRAI
TITIK REO’ SALOKA’
TITIK SINTAK TALIAGHA’
TITIK PANANGSANG
TITIK BUA-BUA
TITIK SINULIMBAG
Kesemua titik ini memiliki tempo, bentuk pukulan dan tune yang berbeza dan memiliki keistimewaan serta fungsi tersendiri. Ada di antara TITIK tersebut digunakan untuk upacara tertentu misalnya TITIK MAGSAITAN yang mempunyai gaya pukulan untuk memuja dan memanggil semangat penunggu, jin dan seumpamanya yang pada kebiasaanya diiringi oleh LUGHU’ dan pawang atau bomoh mengalai dalam keadaan dikenal sebagai LUA KASAITANAN. Budaya ini adalah pengaruh Hindu-Buddha dan pernah menjadi amalan di kalangan Sama Kuvang suatu masa dahulu.
Demikian juga dalam TITIK PANANGSANG yang digunakan untuk memberi semangat dan suntikan kepahlawanan. Titik tersebut sebagaimana TITIK LUVAK-LUVAK dipersembahkan dalam rentak atau tempo yang laju manakala pengalainya selalunya kaum lelaki. Titik Tarirai dan Titik Tabawan pula sangat molek untuk tujuan persembahan Ighal-Ighal manakala Titik Magkuntau sudah pasti untuk persembahan silat.
Suatu ketika dahulu, pada saat belum hadir segala bentuk hiburan moden seperti pancaragam, kugiran, radio, wayang, televisyen, video dan seumpamanya, muzik tradisional inilah yang menjadi halwa telinga dan bentuk hiburan paling sensasi pada zamannya. MAGTAGUNGGHU menjadi lengkap apabila diiringi oleh pakaian tradisi Sama-Bajau, Ighal-Ighal, Sambulayang, Lepa, Magsayau, Kuntau dan seumpamanya yang suatu ketika dahulu memang 'famous'.
Sebuah kajian lengkap dan khusus wajar dibuat untuk tujuan akademik dan pendokumentasian agar seni tradisi dan budaya TITIK ini tidak hilang begitu sahaja. Sehingga kini, dalam bentuk dokumentasi audio Ead MasaReka sudah pun merintisnya. Syabas dan tahniah kepada beliau bersama krunya Amirul Abdul. Begitu juga Penggiat Budaya Bajau yang secara konsisten mempertahankan SENI TITIK ini di majlis-majlis keramaian dan majlis rasmi dalam saat ianya cuba ditepis, dipinggirkan dan dipulaukan oleh TITIK OLGAN (Seni titik yang ditiru dimainkan secara digital menggunakan KEYBOARD atau Synthesizer tanpa memakai tenaga manusia dan di’claim’ sebagai lebih mudah serta praktikal untuk majlis-majlis keramaian).
Apa yang jelas, TITIK dalam budaya Sama Kuvang ini mempunyai kelainan, Ciri Khas dan aura yang tersendiri dan ia adalah warisan berharga suku pengembara laut ini walau pun suku-suku lain turut memiliki muzik tradisional yang serupa misalnya Jawa dengan Gamelan, Suluk dengan Gabbang, KadazanDusun dengan Sumpoton atau di kalangan orang Brunei dan Kedayan dengan peralatan muzik tradisional mereka pula. MAGTAGUNGGHU’ seolah-olah sudah satu kemestian dalam apa pun keramaian dan sebelum ianya hilang ditelan arus perubahan zaman, pihak berwajib patut mengambil inisiatif ke arah melestarikan muzik tradisional ini di era globalisasi.
Nazeka Kanasidena
Pencinta Budaya Sama Kuvang
20 Mac 2021
TAGUNGGHU’ DAN AURA SAMA BAHARI PENUH SEMANGAT KEPAHLAWANAN TAGUNGGHU’ DAN AURA SAMA BAHARI PENUH SEMANGAT KEPAHLAWANAN Reviewed by Admin on Mac 26, 2021 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.