MANUSIA P.RAMLEE SEKALI SAJA MUNCUL DALAM 100 TAHUN



MANUSIA P.RAMLEE SEKALI SAJA MUNCUL DALAM 100 TAHUN: Sebuah Kenangan Sempena Hari Lahir Laki-Laki 'The Most Versatile Talent'
Bismillahirrahmanirrahiim
“Irama dan lagu tak boleh dipisahkan. Kalau dipisah, rosaklah lagu, pincanglah seni.” P.Ramlee
Dalam filem ‘Ibu Mertuaku’ di atas katil dalam keadaan buta selepas diselamatkan oleh ibu Chombi, Kassim Selamat yang bakal menukar namanya kepada Osman Jailani peniup Saxophone itu sempat menyanyi mengenang nasibnya :
“Hendak kunangis
tiada berair mata
hendak kusenyum
tiada siapa nak teman
kalaulah nasib
sudah tersurat
begini hebat
apa nak buat
Di mana kan kucari ganti
Serupa denganmu.”
Hari ini, sedar tak sedar, adalah Hari Kelahiran Seniman Agung Tan Sri Dato’ Seri Amar Dr. P. Ramlee. Menurut ibunya, P.Ramlee yang diberi nama asal Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu dilahirkan pada Hari Raya Aidil Fitri.
Dia memang layak mendapat gelaran itu: ‘Seniman Agung’ kerana daripada hampir 1000 orang insan seni di Singapura yang terlibat dalam dunia perfileman, seni suara, seni lawak jenaka, seni mengarah filem, seni berlakon, seni mengambar, seni latar hias, seni kostume dan segala yang berkaitan dengan seni penuh impak dan bahana itu, hanya dialah satu-satunya yang mampu membawa banyak peranan. Dialah pengarah, dialah pelakon, dialah penggubah muzik, dialah penyanyi, dialah pelawak, dialah pak pacak, dialah penulis skrip dan dialah semua. Namun tentulah dia tidak boleh buat itu sendirian tanpa kerjasama manusia seni yang terdiri dari rakan-rakannya sendiri juga isteri dan anak-anaknya.
Tidak menghairankan apabila dalam Filem ‘Ibu Mertuaku’ (1962), P.Ramlee menerima anugerah ‘The Most Versatile Talent’ dalam Pesta Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun kerana dalam filem itu dia bawa semua perkara dan semua watak; dari ahli muzik, penyanyi, pemimpin kombo, buruh kasar membina bangunan, peminat judi lumba kuda, pemain saxophone, orang buta dan pencinta wanita si Sabariah anak Nyonya Mansor!!! Dia juga hampir memenangi anugerah ‘Pelakon Lelaki Terbaik Seluruh Asia’ buat kali kedua menerusi filem ‘Antara Dua Darjat’ jika tidak kerana tidak diberi undi oleh Indonesia sekadar 2 mata dan anugerah itu kemudiannya diberikan kepada sahabat baiknya Toshiro Mifune.
Anugerah ‘The Most Versatile Talent’ itu tidak pernah wujud dalam Dunia perfileman tapi terpaksa diwujudkan oleh para juri semasa acara pesta filem di Jepun kerana tiada anugerah sesuai untuk apa yang telah dibuat dan dipersembahkan oleh P.Ramlee dalam filem tersebut dan peranannya sebelum ini dalam Perfileman Melayu. Anugerah pertama diterimanya ialah "Skor Muzik Terbaik" dalam Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong melalui Filem Hang Tuah. Memang indah dan merinding bulu kuduk mendengar skor muzik filem itu. Filem ‘Hang Tuah’ arahan Phani Majumdar itu turut terpilih untuk tayangan filem antarabangsa di Berlin, Jerman tahun 1957.
P.Ramlee juga terpilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ‘Anakku Sazali’ (1957) di Pesta Filem Asia, Tokyo kerana kemampuannya membawa dua watak iaitu bapa dan anak. Pada tahun 1958 P.Ramlee menerima anugerah Filem Hitam Putih Terbaik Asia menerusi Filem ‘Sumpah Orang Minyak’ hasil kerja penggambaran jurukamera oleh A.Ali dalam filem penuh aksi dan pernah menggegarkan kota Singapura itu. Pernah juga anugerah itu diberi kepada P.Ramlee menerusi filem ‘Semerah Padi’ namun dikritik kerana filem itu terlalu kuat kepada unsur Islam.
Pada tahun 1959, P.Ramlee sekali lagi menerima anugerah Filem Komedi Terbaik Seluruh Asia melalui filem ‘Pendekar Bujang Lapok’. Tahun 1960, di Pesta Filem Asia ke-7 di Tokyo, P.Ramlee menerima dua anugerah menerusi filem ‘Nujum Pak Belalang’ iaitu Filem Komedi Terbaik dan Filem Hitam Putih Terbaik! Anugerah diteruskan lagi pada tahun 1963 apabila Filem ‘Ibu Mertuaku’ turut menerima anugerah Filem Hitam Putih Terbaik. Filem ini menerima Anugerah Juri Khas di Pesta Filem Dunia di Paris. Pada tahun 1964, filem ‘Madu Tiga’ menerima anugerah Filem Komedi Terbaik seluruh Asia dalam Pesta Filem Asia ke-11 di Taipei.
Adakah lagi di zaman sekarang ini zaman ICT dan Globalisasi seorang manusia seni di Malaysia yang seperti P.Ramlee itu yang mampu membawa semua fungsi dan peranannya dengan penuh kejayaan di tahun 1950 hingga 1960an? Hussain Hanif, Jins Shamsuddin, Jamil Sulong, Haji Mahadi, Mat Sentol, Salleh Ghani, A.R Tompel, Omar Rojik dan S.Sudarmaji adakah mereka itu mampu membawa semua peranan itu? Pernah dicadangkan M.Nasir dan Ahmad Nawab. Tapi hingga ke mana pencapaian mereka?
Hampir 50 filem arahan P.Ramlee ketika zaman gemilangnya di Studio Jalan Ampas yang kesemuanya sangat bermutu dan penuh dengan nilai seni jadi tatapan bukan sahaja bangsa Melayu malah kepada semua penggemar dunia perfileman. Dimulai oleh ‘Penarik Becha’ 1955 dan diakhiri oleh ‘Madu Tiga’, filem-filem arahan P.Ramlee dianggap sebagai filem berstatus tinggi di kalangan penggemar dan pengkritik filem bukan sahaja tema, persoalan dan nilai seni perfilemannya. Kemampuannya cuma dapat ditandingi oleh Charlie Chaplin di Hollywood. Malah P.Ramlee pernah diiktiraf sebagai ‘Charlie Chaplin Asia’! Padahal P.Ramlee itu peminat Shivagi dan MGR (Kollywood), Raj Kapoor (Bollywood), Akira Kuroshawa dan Tushiro Mifune.
Selepas berpindah ke Kuala Lumpur, meski pun menerima banyak cabaran, dugaan dan halangan kerana kekurangan serba serbi, Studio Merdeka, Kuala Lumpur itu masih mampu mengeluarkan filem-filem bermutu walau pun tidak setanding ketika di Singapura. ‘Masam-Masam Manis’, ‘Laksamana Do Re Mi’, ‘Ahmad Albab’, ‘Anak Bapak’, ‘Enam Jahanam’, ‘Keluarga 69’, ‘Kancan Tirana’ dan ‘Doktor Rushdi’ adalah di antara karya garapannya dalam kesakitan fizikal dan mental di tempat baru itu.
P.Ramlee bermula dari lagu Azizah yang dicipta dan didendangkannya bersama Orkes Teruna Sekampung tahun 1948 sehingga menarik minat pengarah B.S Rajhans untuk menawarkannya berlakon di Singapura bersama Shaw Brothers, akhirnya P.Ramlee tidak berpaling sesudah itu. Filem pertamanya ialah 'Chinta' 1948. Dia telah berlakon sama ada sebagai teraju utama atau pak pacak atau sekadar suaranya dipinjam dan menjadi pengarah dalam hampir 100 filem. Tak kurang dari 1000 lagu ciptaannya yang sampai kini tetap menjadi Evergreen. Siapa tak tersentuh mendengar lagu ‘Di Manakan Kucari Ganti’, ‘Gelora’, ‘Sepanjang Riwayatku’, ‘Entah Di Mana’, ‘Seri Bulan’ dan banyak lagi. Lagu-lagunya pernah mewarnai kehidupan masyarakat berbahasa Melayu di Nusantara.
Lahir pada 22 Mac 1929 sebagai anak laki-laki yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh dengan nama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. Nama itu kemudian tenggelam dan orang lebih kenal dengan Puteh Ramlee atau P.Ramlee. Hari ini, 29 Mei 1973, dunia seni tanahair terkejut dengan pemergian tokoh agung seni itu. Baharu berusia 45 tahun. Masih muda. Manusia bernama P.Ramlee itu tatkala terdengar khabar pemergiannya membawa dukacita tidak sedikit kepada para pencinta seni. Bahkan, Pak Sako manusia politik dan pencinta bangsa Melayu itu juga terkejut dengan berita pemergiannya. Sempat Pendita Za’aba ilmuan Melayu memberi anugerah dan mengapresiasikan rasa bahagia batinnya atas sumbangan manusia bernama P.Ramlee itu mengangkat nama bangsa Melayu.
Tak kurang dari 10 buku ditulis khas tentang manusia P.Ramlee ini. Antaranya ialah ‘Kisah Hidup Seniman Agung P.Ramlee’ oleh SN Abdullah Hussein dan ‘P.Ramlee’ oleh Aimi Jarr, P.Ramlee : The Bright Star oleh Tan Sri Ahmad Sarji dan 'Kenangan abadi P.Ramlee' oleh Ramli Ismail. Namun ianya hanyalah sekelumit dari kisah kehidupan manusia seni yang mati muda tapi banyak berjasa itu. Orang masih menyebut—nyebut namanya kerana filemnya dan lagu-lagunya terus diputarkan dan orang tidak pernah jemu malah demikian hafal sehingga arif benar dengan karya seninya dan hafal dialog filemnya. Mereka yang lahir sebelum tahun 1980an tentulah arif benar dengan manusia bernama P.Ramlee ini. Tiada yang tidak mengenal beliau itu.
Kini, telah 48 tahun P.Ramlee meninggalkan kita. Adakah kerja seni dan sumbangannya juga telah hilang dan musnah bersama kematiannya pada 29 Mei 1973 itu? Tidak.
Sungguh, namanya, jasanya, sumbangannya, kebesarannya, keagungan seni ciptaannya dalam lagu-lagu dan filem-filemnya tetap hidup dan terus hidup selama manusia seni dan manusia Melayu masih berusaha mendalami dan cuba mencipta lebih baik dari apa yang telah dia hasilkan selama 30 tahun itu. Tak ada manusia seni menerima anugerah sesudah matinya seperti Doktor Falsafah (Seni Muzik), Tan Seri dan Dato’ Seri Amar daripada pihak berwajib seperti yang diterima oleh P.Ramlee itu. Utusan Melayu akhbar yang banyak berjasa kepada bangsa Melayu sejak zaman pramerdeka dan Badan Kesenian Negara telah mengangkat P.Ramlee dan mengiktirafnya sebagai SENIMAN AGUNG bangsa Melayu di Malaysia.
Selamat Hari Lahir dan Al Fatihah untukmu Insan Seni Sejati dan SENIMAN AGUNG P.Ramlee. Amin.
“Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga
Biar alam hancur dan musnah
Jasa mu tetap dikenang juga.”
Nazeka Kanasidena
22 MAC 2021
MANUSIA P.RAMLEE SEKALI SAJA MUNCUL DALAM 100 TAHUN MANUSIA P.RAMLEE SEKALI SAJA MUNCUL DALAM 100 TAHUN Reviewed by Admin on Mac 26, 2021 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.