SALINGAYA BUNGSU, SYARIF MUHAMMAD KABUNGSUAN





Tatkala Pensil Tumpul Ladjalaut Diraut
SALINGAYA BUNGSU, SYARIF MUHAMMAD KABUNGSUAN, SAMA KUVANG DAN KERAJAAN JOHOR: ASAL USUL A’A SAMA KUVANG DI PANTAI TIMUR BORNEO UTARA - A Prelimenary Perception.
Bismillahirrahmanirrahiim. Amma Ba'du.
"Missa' Alungai A'a Sama Bang Araran Maghilling Sama. Alungai Hilling Sama, Alan'nyap na Bangsa." Nazeka Kanasidena
Terdapat banyak pendapat berkenaan asal usul Sama Kuvang di pantai timur Borneo Utara. Setiap versi mempunyai alasan, hujah dan pendapat masing-masing. Catatan ahli kolonial didapati bersumber daripada cerita lisan penduduk setempat juga dengan sedikit bukti yang masih diragui.
Misalnya orang Bajau di Pulau Umaral berasal dari Johor. Cerita lisan ini disampaikan dan dicatatkan oleh para pengkaji seperti Cyrill Allison, Najeeb Saleeby dan Arlo H. Nimmo. Mereka memperolehinya daripada penduduk setempat semasa membuat kajian. Bagaimana pun perlulah dijelaskan bahawa rujukan cerita lisan penduduk itu bukanlah kerajaan Johor yang berpusat di Johor Lama semata-mata. Akan tetapi kemungkinannya orang Bajau yang dimaksudkan itu daripada kawasan lain yang merupakan tanah jajahan Johor pada ketika itu misalnya Kepulauan Riau, Kepulauan Bentan, Kepulauan Natuna dan timur Sumatera terutama di Jambi dan Palembang.
Keberadaan suku Bajau yang bercampur dengan suku Laut seperti Orang Bentan, Orang Seletar dan Orang Kuala memanglah terbukti jelas kerana mereka masih wujud sehingga kini. Di dalam catatan sejarah, kelompok ini merupakan pendokong tiga kerajaan besar iaitu Srivijaya, Melaka dan Johor-Riau. Sama-Bajau masih mendiami Kawasan Kepulauan Riau selain yang berada di Jambi, Labuhan Bajo dan Kepulauan Maluku Timur serta seluruh Pulau Sulawesi.
Terdapat juga pendapat mengatakan orang Bajau yang ada di Omadal berasal dari selatan Filipina terutama dari Pulau Tabawan. Ini kerana Bahasa, kebudayaan dan cara hidup dua kelompok ini sangat serupa. Kesenian dan rupawajah mereka juga memiliki ciri yang seiras. Mereka mungkin telah belayar keluar dari Pulau Tabawan sekitar tahun 1500 bersama dengan para pemimpin. Ini bererti, penghijrahan itu bertentangan dengan pendapat awal yang mengandaikan Sama-Bajau berhijrah ke arah timur sedangkan penghijrahan penduduk Tabawan dari utara ke selatan iaitu Umaral.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa orang Bajau yang ada di Umaral adalah berasal dari Indonesia terutama dari Ralawan, Malatua, Sangalaki dan Kakaban. Pendapat ini bersandar kepada realiti bahawa ramai penduduk dari dua kawasan ini pernah berurusniaga serta terlibat aktif dalam perdagangan antar-lautan menggunakan perahu Sappit, Adjung, Lepa dan Bayanan. Penduduk di Pulau Rannawan sendiri mengakui bahawa mereka berasal dari Pulau Ralawan.
Ada juga pendapat mengatakan mereka adalah kelompok penghijrah suku Ngaju dari muara Sungai Mahakam yang melakukan penghijrahan besar-besaran pada tahun 1000 Masehi atau lebih awal. Tiga kelompok penghijrah telah berpecah dan salah satunya menuju ke Filipina dengan menyusuri Selat Makassar. Kelompok ini sebahagiannya tinggal menetap di pulau-pulau sepanjang selat tersebut seperti Ralawan, Pulau Panjang, Malatua dan sebagainya.
Sebahagian lagi menetap di timur pulau Borneo iaitu Umaral kerana di kawasan tersebut terdapat banyak pulau, flora dan fauna yang sesuai dengan kehidupan mereka yang berasaskan maritim. Selebihnya meneruskan perjalanan lalu menduduki pulau-pulau di selatan Mindanao. Dua lagi kelompok penghijrah itu menuju ke selatan dan timur Indonesia lalu mendiami pesisiran pantai Jawa, Nusa Tenggara, Sulawesi, Maluku Timur, Flores dan ada yang meneruskan perjalanan hingga ke utara Australia.
Pendapat seterusnya yang besar kemungkinannya dan wajar dipertimbangkan ialah orang Bajau yang menetap di pantai timur Borneo Utara merupakan kelompok yang sudah lama wujud di kawasan tersebut terutama selepas tenggelamnya Pentas Sunda dan Pentas Sahul. Pada waktu itu hampir sebahagian besar kawasan Asia Tenggara timbul sebagai satu tanah daratan dan bersambung di antara satu sama lain. Oleh yang demikian, pergerakan dan penghijrahan manusia, flora dan fauna di kawasan ini menjadi begitu mudah.
Perkara ini dibuktikan dengan wujudnya flora dan fauna yang serupa di kawasan yang jauh misalnya badak, orang utan dan pokok periuk kera selain terdapat di pulau Borneo juga terdapat di pulau Sumatera. Begitu juga kewujudan ikan Belida yang terdapat di Kalimantan Barat juga terapat di Sumatera Barat. Demikian juga kemunculan manusia yang sudah lama menempati di Filipina, Borneo Utara dan Sulawesi.
Terdapat banyak tapak arkeologi membuktikan kewujudan manusia sejauh sejak 20,000 hingga 50,000 tahun yang lalu misalnya di Gua Niah, Sarawak dan Tingkayu, Sabah; Gua Leyang Burung, Sulawesi dan di Sangihe-Talaud, Indonesia dan tapak arkeologi di Palawan dan Butuan di Filipina. Tapak arkeologi di Bukit Tengkorak, Malanta Tutup, Bukit Kemiri dan Bud Gaya di Semporna merupakan bukti jelas keberadaan manusia purba itu yang diperkirakan sudah aktif sejak 10,000 SM.
Dari hal itu maka bukanlah mustahil Sama-Bajau yang memang akrab dengan kehidupan maritim boleh didapati di merata-rata tempat di seluruh Asia Tenggara ribuan tahun sebelum adanya tamadun dan kerajaan beraja. Sebagai kelompok Austronesia (Proto Malay) mereka sebenarnya telah menyebar dan menjalankan aktiviti maritim dengan teknologi pelayaran bahari sejak tahun 1000 sebelum Masehi sebagaimana bangsa-bangsa Melanesia dan Polynesia mencapai Pulau Easter, Hawaii, Kepulauan Solomon dan ribuan pulau di lautan Pasifik. Banyak bukti terkini dari kajian arkeologi di kawasan yang dimaksudkan telah menunjukkan kebenaran andaian ini.
Bukti terakhir adalah kajian DNA oleh para pengkaji barat. Adalah jelas mereka mendapati bahawa Sama-Bajau walau di mana pun mereka berada merupakan kelompok Austronesia yang juga dikenal sebagai Melayu Proto dan datang dari satu leluhur yang datang dari arah utara benua Asia. Bersama kelompok Melanesia dan Polynesia, seawal abad 10,000 SM kelompok Austronesia telah berhijrah dan melakukan aktiviti berasaskan maritim di rantau timur Asia Tenggara. Inilah punca mengapa Sama-Bajau terdapat di merata kawasan Asia Tenggara terutama di sebelah timur rantau tersebut kerana kawasan ini mempunyai banyak pulau, beting berbatu karang yang sangat sesuai dengan aktiviti yang berasaskan kegiatan maritim. Di Filipina, Kajian genetik dan pemetaan genome telah mendapati bahawa Sama-Bajau merupakan salah satu daripada 5 gelombang besar kewujudan manusia di kepulauan tersebut yang dianggarkan bermula sejak 50,000 tahun yang lampau. Kajian itu secara umum menyatakan bahawa :


“Island Southeast Asia has recently produced several surprises regarding human history, but the region’s complex demography remains poorly understood. Here, we report ∼2.3 million genotypes from 1,028 individuals representing 115 indigenous Philippine populations and genome-sequence data from two ∼8,000-y-old individuals from Liangdao in the Taiwan Strait. We show that the Philippine islands were populated by at least five waves of human migration: initially by Northern and Southern Negritos (distantly related to Australian and Papuan groups), followed by Manobo, Sama, Papuan, and Cordilleran-related populations. …….. Sama-related ethnic groups of southwestern Philippines additionally experienced some minimal South Asian gene flow starting ∼1,000 years ago. Lastly, only a few lowlanders, accounting for <1% of all individuals, presented a low level of West Eurasian admixture, indicating a limited genetic legacy of Spanish colonization in the Philippines. Altogether, our findings reveal a multilayered history of the Philippines, which served as a crucial gateway for the movement of people that ultimately changed the genetic landscape of the Asia-Pacific region.”
Apa yang pasti Sama-Bajau itu tersebar dan menempati kawasan seluas 3.8 juta kilometer merangkumi 3 buah negara bangsa moden iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina. Ini tidak termasuk suku-suku ‘Aquatic’ lain.
Dalam beberapa literatur, Sama-Bajau dikelompokkan dalam ‘Aquatic Society’. Ia merupakan kelompok masyarakat yang menjadikan laut, pulau dan beting batu karang sebagai tapak utama membangunkan kearifan lokal. Kelompok ini sudah berasimilasi dengan persekitarannya sejak ribuan tahun yang lampau dan mereka dipercayai muncul ketika kawasan Asia Tenggara masih lagi sebagai satu daratan yang bersambung dengan benua Asia melalui Semenanjung Tanah Melayu. Di antara suku dalam Aquatic Society ini ialah Orang Moken, Orang Selung, Urak Lawoi, Orang Kuala, Orang Seletar, Suku Mepar, Suku Bolang, Sama-Bajau dan Orang laut.
Dengan itu Selangaya Bungsu dan Haklum Nujum berserta Siti Zairan Kabaran dan ayahandanya Sultan Malikul Alam bukanlah mustahil menjadi sebahagian daripada tatanan sosial dalam kelompok masyarakat akuatik ini. Itu sebab penduduk Sama Umaral dalam cerita lisan berkeras menyebutkan bahawa nenek moyang mereka iaitu Ummal Bin Akmaral yang merupakan pewaris Selangaya Bungsu atau SALINGAYAH BUNGSU yang hidup sekitar tahun 1590an. Tahun ini bersesuaian pula dengan penghijrahan para mubaligh Islam dari Johor dan tanah Arab misalnya Sharif Muhammad Kabungsuan, Tuan Mashaika dan Raja Baguindo. Maka kesamaan dan sifat identikal antara Selangaya Bungsu dan Sharif Muhammad Kabungsuan memang tidak dapat dielakkan. Apatah lagi orang Bajau memang dilaporkan menjadi penunjuk jalan laut para pedagang dan mubaligh itu.
Begitu pun masih terdapat keyakinan di kalangan Sama Kuvang di Umaral bahawa SALINGAYAH BUNGSU adalah ‘Porol Sama-Bajau’ dan bukannya individu yang dinamakan Sharif Muhammad Kabungsuan.
Kemahiran Sama-Bajau dalam urusan selok belok kelautan, nama-nama pulau, beting, laluan air, arus dan seumpamanya tidak dapat disangkal lagi. Mereka amat diperlukan oleh para mubaligh itu kerana bimbang tersesat atau kapal pecah di laut berbatu karang. Malah terdapat teori mengatakan Sama-Bajau adalah pewaris DNA bangsa dan tamadun Lemuria serta tamadun Atlantis yang dikatakan sangat maju dalam bidang maritim itu!
Sama-Bajau dan orang Laut di Kepulauan Riau-Bentan bukanlah bangsa yang berbeza dari segi kehidupan. Kedua-duanya adalah Aquatic-Society dan berkait pula dengan Urak Lawoi dan Orang Moken di Kepulauan Mergui, Burma dan selatan Thailand. Kehidupan mereka sangat identik. Terdapat laporan wujudnya Sama-Bajau di situ. Malah kajian teks Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu mendapati Hang Tuah lima bersaudara itu adalah Orang Laut dari Bentan dan ayahnya Hang Mahmud adalah Tok batin Orang Laut.
Apa yang penting, perkaitan Sama-Bajau dengan kelompok leluhur mereka di Srivijaya, Kepulauan Riau dan Jambi tidaklah dapat dielakkan. Kehidupan yang berasaskan aktiviti maritim mengikat kelompok ‘Aquatic Society’ ini dalam budaya kearifan bahari yang terus disuburkan melalui kehidupan sehari-sehari sejak zaman berzaman hingga ke hari ini.
“MISSA’ ALUNGAI A’A SAMA MIN RUNNIYA SAMALAI BINALUTAN PAHOGHOT KA’UL, AKKAL, PIKILAN, KILA-KILA MAKA UGAMA ISLAM.” Nazeka Kanasidena
Dipetik dari kitab USULAN KAMATTO’AHAN
Projek Mega Nazeka kanasidena menjejaki susurgalur keturunan UMMAL BIN AKMARAL BIN SALINGAYAH BUNGSU
Pu’ Umaral
19 Mei 2021
SALINGAYA BUNGSU, SYARIF MUHAMMAD KABUNGSUAN SALINGAYA BUNGSU, SYARIF MUHAMMAD KABUNGSUAN Reviewed by Admin on Mac 26, 2021 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.