CITRA, CITA DAN CINTA WANITA



CITRA, CITA DAN CINTA WANITA - Satu Galuran Sejarah, Peranan dan Keberadaan Wanita Dalam Sejarah Umat Manusia
Bismillahirrahmanirrahiim
"TANGAN YANG MENGAYUN BUAIAN MAMPU MENGGONCANG DUNIA"
Siapa sangka wanita yang kita duga hanya menjadi ibu dan suri rumah dan tempat memuaskan nafsu libido lelaki itu adalah juga pemimpin dunia!
Sejarah sudah membuktikan hal itu berkali-kali meskipun pelbagai pihak berusaha untuk mendiskredit kedudukan dan kemampuan mereka. Wanita bukanlah sekadar ibu dan suri rumah. Mereka juga mampu memimpin dan mengetuai kerajaan atau sebuah negara. Itu fakta yang jarang diketahui ramai orang. Namun meneliti hal ini, baik kita tinjau dahulu keadaan kaum wanita dalam sejarah dan tamadun dunia.
Dari segi sejarah, pada zaman dahulu taraf wanita terlalu rendah. Mereka boleh dijualbeli, diperdagangkan, dijadikan komoditi dan merupakan hamba-hamba kepada kaum lelaki. Wanita dalam hampir semua kebudayaan besar merupakan pekerja, hamba dan berada dalam kekuasaan lelaki, baik ibubapanya, suaminya mahu pun tuannya.
Dalam kebudayaan Arab Jahiiliiyah, melahirkan anak perempuan adalah satu kesialan kerana wanita selalunya akan mengalami nasib malang di sepanjang hidupnya. Oleh itu, bukan aneh di kalangan Arab jahiliyah anak perempuan ditanam hidup-hidup bagi mengelakkan malu dan nasib buruk. Seorang lelaki Arab juga boleh memiliki lebih 10 isteri tidak termasuk perempuan selir dan harem. Apabila si ayah mati, anak lelakinya pula boleh mewarisi dan memiliki isteri-isteri tersebut.
Di istana raja-raja zaman dahulu, wanita menjadi dayang, pelayan, inang pengasuh dan menjadi objek pemuas seks semata-mata. Dalam kebudayaan Parsi dan Yunani Kuno misalnya, wanita menjadi korban persembahan kepada tuhan-tuhan. Mereka disula, ditolak ke dalam kawah berapi atau dibakar hidup-hidup sebagai tanda pemujaan dan ucapan terima kasih kepada tuhan yang telah memberikan kemakmuran atau untuk menolak bala.
Apabila muncul tamadun Yunani, wanita mulai dituhankan. Lalu muncullah ramai dewi misalnya Dewi Athena, Dewi Afrodit, Dewi Artemis, Dewi Hera dan sebagainya.
Dalam kebudayaan Mesir Kuno, wanita dipuja dan diagungkan terutama isteri-isteri Firaun. Ini kerana mereka melahirkan dan merupakan ibu tuhan. Oleh itu, di kalangan bangsa Mesir Purba. terdapat tuhan wanita untuk disembah misalnya misalnya Mut, Isis, Hathor, Ma'at, Thefnut dan sebagainya. Wanita juga menjadi Firaun di kalangan bangsa ini. Mereka yang terkenal misalnya Nefertiti, Cleopatra, Nitocris, Twostret, Hatsepsut dan Sobekneferu.
Di India, tidak kurang dari 1 juta Dewi dipuja oleh penganut agama Hindu yang mewakili wanita. Mereka di antaranya Dewi Durga, Sarasvati, Lakshmi, Parvati, Kali, Sita dan Radha. Bagaimanapun, anehnya, dalam tamadun ini, setengah dari kebudayaan mereka masih mengamalkan 'Sutee' iaitu isteri membakar diri bersama suaminya yang telah pun mati sebagai tanda cinta dan kesetiaan pada suami.
Apabila Islam datang, Nabi Muhammad saw telah meletakkan semula kedudukan wanita pada taraf yang sesuai. Bahawa lelaki dan wanita sama taraf di sisi Allah. Yang membedakan mereka hanyalah ketakwakan kepada Allah. Hasilnya, kaum wanita di dalam Islam telah turut memainkan peranan besar dalam mengembangkan syi'ar Islam. Ramai di antara mereka menjadi penyumbang kepada ketinggian tamadun Islam dan kedudukan mereka pun dihargai. Siti Khadijah isteri Rasulullah bersama Aisyah Binti Abu Bakar merupakan pendokong utama gerakan tarbiyah nabi akhir zaman itu selain Fatimah Binti Muhammad yang merupakan isteri Saidina Ali ra. Siti Khadijah itulah tonggak kekuatan Nabi Muhammad saw di awal kerasulan Baginda baik dalam sokongan kewangan mahu pun sokongan moral.
Islam telah memberikan hak dan mandat yang besar kepada wanita sedangkan sebelumnya mereka dipandang rendah. Islam jugalah yang memuliakan wanita dan menjanjikan syurga serta kebaikan tiada taranya kepada wanita yang berkorban untuk suami, keluarga, ibubapa, agama, bangsa dan negara.
Dalam zaman kerajaan awal, sudah ramai wanita memainkan peranan dalam halatuju pemerintahan sesebuah negara. Para raja, susuhunan, maharaja dan sultan ramai dipengaruhi oleh permaisuri mereka. Tokoh seperti Tun Kudu, Tun Teja, Tun Fatimah, Wan Empuk dan Wan Malini adalah contoh konteks Melayu. Mereka berperanan penting dalam urusan kemaslahatan empayar kerajaan Alam Melayu. Kerajaan Great Britain sendiri diterajui oleh Ratu Elizabeth yang perkasa manakala Belanda oleh Ratu Wilhelmina. Lama sebelum itu kerajaan Mesir Purba pernah diperintah oleh Firaun wanita misalnya Hatsepsut dan Nefertiti. Firauan Cleopatra yang fenomenal itu pernah menggegarkan sejarah dunia dengan tingkah lakunya yang eksotik lagi
hebat
.
Maharani Dowager adalah pemerintah China terakhir sebelum diambilalih oleh kerajaan Komunis. Kerajaan Acheh selepas Iskandar Mahkota Alam pula telah diperintah oleh tiga ratu silih berganti iaitu Sultanah Tajul Alam Safiyatuddin (1641-1675), Sultanah Nurul Alam Nakiyatuddin memerintah (1675-1678) dan Sultanah Inayat Syah Zakiyatuddin (1678-1688).
Argentina dan Denmark pun pernah diperintah oleh wanita di awal kemerdekaan mereka manakala di Rusia siapa tidak kenal Catherine the Great (1729–1796), Catherine I of Russia (1684–1727), Elizabeth of Russia (1709–1762) dan Sophia Alekseyevna of Russia (1657–1704) yang pernah mempengaruhi jalannya sejarah negara Tirai Besi itu.
Dalam konteks zaman moden, kesedaran umat manusia untuk turut memberikan peluang kepada wanita menceburkan diri dalam politik secara meluas. Sebelum itu di Eropah sehingga akhir abad ke 19, wanita tidak dibenarkan mengundi dan tiada hak dalam urusan pentadbiran negara. Zaman berubah dan kini wanita rata-ratanya telah mempunyai kedudukan lebih baik. Dalam sejarah pemerintahan dan politik, semakin ramai wanita menempatkan diri dalam posisi tertinggi. Sebelum itu tokoh seperti Indra Ghandi, Begum Khaleda Zia, Benazir Bhutto, Sirimavo Bandaraneike, Golda Meir dan Margaret Tatcher pernah menerajui negara masing-masing dengan kejayaan gemilang.
Sejarah mencatat beberapa orang wanita pernah menjadi ketua negara misalnya:

• Helle Thorning-Schmidt, Prime Minister of Denmark
• Yingluck Shinawatra, Prime Minister of Thailand
• Angela Merkel, Chancellor of Germany
• Cristina Fernández de Kirchner, President of Argentina
• Dilma Rousseff, President of Brazil
• Julia Gillard, Prime Minister of Australia
• Ellen Johnson Sirleaf, President of Liberia
• Sheik Hasina Wajed, Prime Minister of Bangladesh
• Johanna Sigurdardottir, Prime Minister of Iceland
• Laura Chinchilla, President of Costa Rica
• Tarja Halonen, President of Finland
• Dalia Grybauskaite, President of Lithuania
• Kamla Persad-Bissessar, Prime Minister of Trinidad and Tobago
* Halimah Yacob, President of Singapore
Filipina pernah menyaksikan pemerintahan dua wanita iaitu Curazon Aquino yang naik ke tampuk pemerintahan hasil dari simpati rakyat terhadap pembunuhan suaminya Beningno Aquino oleh Presiden Marcos. Begitu juga Gloria Arroyo Macapagal. Indonesia pun pernah diperintah oleh wanita iaitu Megawati Sukarno Putri manakala di Amerika Syarikat, isteri para presiden negara itu dinamakan sebagai First Lady kerana mereka turut mempengaruhi keputusan suami mereka sebagai Presiden!
Di Malaysia, kita juga memiliki ramai pemimpin dari kalangan wanita. Mereka misalnya Tun Tan Sri (Dr) Hjh Fatimah Hashim yang merupakan WANITA PERTAMA dalam Kabinet Malaysia (1969-1973), Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Aisyah Ghani, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Michelle Yeoh dan ramai lagi. Mereka telah memberikan sumbangan yang tidak sedikit kepada agama, negara dan bangsa di Malaysia.
Tahniah kepada kaum wanita yang bukan sahaja menjadi suri rumah, ibu dan teman kepada suami dan anak-anak, malah mampu menjadi pentadbir umat manusia bagi sesebuah negara berdaulat dan komuniti yang besar.
Di Semporna, barangkali tidak mustahil akan muncul seorang wanita menjadi WAKIL RAKYAT kepada penduduk daerah suku pengembara laut ini. Kita menunggu dan percaya jika mereka diangkat keadaan akan berubah dan persepsi bahawa wanita tidak mampu berbuat apa-apa dalam politik dan pemerintahan itu akan terhapus. Itu ramalan saya tahun lepas.
Kini ia sudah jadi kenyataan apabila Datin Hjh Manis Muka Hj Mohd. Dara menjadi wanita Semporna pertama bergelar Yang Berhormat mewakili kawasannya N64 Bugaya. Beliau telah menjadi contoh kehebatan dan ketrampilan wanita bahawa kaum Hawa itu berkelayakan dalam bidang politik yang selama ini hanya didominasi oleh lelaki. Demikian juga anaknya Fara Deeba Sabardin yang menyandang jawatan penting dalam sebuah parti politik selain keberadaan Sheema Selebes Mem's yang juga dilihat sebagai ‘Ikon’ wanita yang bergengsi dalam politik di Semporna. Al Fatihah untuk Ikon Wanita Semporna Datin Manis Muka Hj Mohd. Dara.
Sesungguhnya wanita adalah tonggak kemajuan sesebuah bangsa. Ini kerana kebahagiaan, kemajuan, kegesitan, daya juang dan sifat progresif itu sebenarnya bermula dari rumah. Sekali lagi syabas dan tahniah kepada kaum wanita yang telah berjuang dan menyumbang kepada kemaslahatan ummah di Malaysia.
Nazeka Kanasidena
Ujana Minda, Kg. Bubul Lama, Jalan Kabogan, Semporna
6.40 pagi :09 Mac 2021
CITRA, CITA DAN CINTA WANITA CITRA, CITA DAN CINTA WANITA Reviewed by Admin on Mac 26, 2021 Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.